Tuesday 8 May 2012

makanan masyarakat melayu (ketupat dan lemang)



Ketupat ialah sejenis makanan tradisional yang sangat di gemari pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.Ketupat adalah satu menu utama apabila tiba perayaan ini dan mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ketupat pula ada dua jenis - ketupat daun palas dan ketupat nasi (daun kelapa). Kedua-dua ketupat ini memerlukan kepakaran menganyam daun kelapa atau membungkus dan menyimpul daun palas.Kelongsong ketupat yang dianyam memerlukan kepakaran untuk mengelakkan ketupat terburai semasa di masak.Keunikan ketupat ini adalah keharuman dan keenakannya apabila dibungkus menggunakan daun kelapa muda atau daun palas.




Selain itu, sejenis makanan tradisional yang terkenal di kalangan penduduk Malaysia ialah lemang.
Lemang ialah makanan daripada beras pulut yang dimasak dengan santan dan disalut dengan daun pisang yang sudah siap diisi di dalam batang buluh.Untuk memasukkan beras pulut dan santan itu memerlukan kepakaran bagi memastikan isinya tidak tumpah bila buluh dibakar dan mengembang. Membakar lemang juga memerlukan kesabaran kerana ia mengambil masa berjam-jam lamanya kerana api tidak boleh terlalu besar dan menghanguskan lemang, atau lemang tidak masak dengan rata, jika bara api tidak sekata.Untuk mengeluarkan lemang yang sudah dimasak, batang buluh perlu dibelah dan isi lemang yang panjang, dibiarkan sejuk dahulu sebelum dipotong dengan mudah.


Lemang boleh dibeli di gerai-gerai yang menjual kuih, terutamanya di pasar malam. Lemang lebih banyak didapati ketika hari raya. Boleh dikatakan setiap rumah di pantai barat Semenanjung menghidangkan lemang pada hari raya. Rasa lemang enak. Lemang sesuai untuk sarapan atau minum petang. Lemang bertambah enak apabila dimakan bersama rendang. Rendang adalah sejenis lauk yang paling popular. Jika dahulu rendang disajikan bersama nasi, ketupat, lemang atau lontong pada hari perayaan, kini boleh diperolehi pada bila-bila masa sahaja. Pada hari –hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, rendang daging atau rendang ayam lebih banyak dimasak. Keadaan ini disebabkan lemang dan ketupat dimakan bersama rendang pada hari-hari perayaan tersebut.
Kini lemang dan ketupat bukan sahaja menjadi menu utama masyarakat melayu, tetapi telah mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia yang lain. Lemang dan ketupat bukan sahaja boleh diperolehi semasa musim perayaan, tetapi pada hari biasa juga. Secara tidak langsung, ketupat dan lemang menjadi salah satu menu masyarakat Malaysia. 

0 comments:

Post a Comment