Tuesday 8 May 2012

Makanan tradisi masyarakat melayu (nasi lemak)

Nasi lemak harus dijadikan makanan kebangsaan Malaysia kerana keunikan dan popularitinya. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut di pelopori oleh kaum Cina dan India malah menjadi menu hidangan kepada pengunjung yang bertandang ke negara ini. Nasi lemak jika dahulunya dihidang untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini telah dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu (ala carte) di hotel-hotel.  


Keunikan nasi lemak adalah bergantung kepada keenakan sambalnya, dan terdapat pelbagai jenis sambal yang digunakan sebagai penyedap nasi lemak. Antara sambal cili yang biasa digunakan ialah ikan bilis, sotong, kerang, daging lembu, daging kambing dan sebagainya. Nasi lemak turut diiringi dengan beberapa lauk sampingan: kari ayam, rendang (ayam dan daging),  ayam goreng, paru goreng, kacang tanah goreng, telur (rebus dan goreng), timun dan sebagainya.Uniknya makanan ini adalah menu tambahannya yang menjadi penyeri dan keenakkan. Keenakan nasi lemak dapat dirasai terutamanya nasi lemak yang dibungkus menggunakan daun pisang. Ini kerana dengan keharuman daun pisang ia mampu menjadi daya penarik dan kesedapan nasi lemak itu sendiri. Selain itu, makanan ini tidak terhad kepada sesetengah menunya tetapi ianya bergantung kepada kehendak pelanggan.
Ini jelas membuktikan bahawa nasi lemak mampu mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia tidak mengira kaum dan agama. Melalui cara ini, secara tidak langsung perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia dapat dibina.

0 comments:

Post a Comment