Tuesday 8 May 2012

Makanan tradisi masyarakat melayu



Hari ini, kaum Melayu merupakan kumpulan etnik terbesar di Malaysia iaitu merangkumi lebih 50 peratus penduduk negara ini. Terdapat pelbagai kebudayaan dan tradisi orang Melayu yang telah menerap ke dalam budaya Negara kita. Ini bermakna tradisi dan budaya yang dahulunya hanya diamalkan oleh golongan Melayu, kini telah menjadi sebahagian daripada budaya hidup penduduk Malaysia tidak kira bangsa dan agama. Penerapan ini membolehkan budaya Malaysia yang unik dan istimewa dibina dan seterusnya dipupuk untuk mencapai perpaduan kaum demi kemajuan negara.

Orang Melayu adalah satu masyarakat yang mempunyai pelbagai jenis makanan yang dipelbagaikan. Misalnya masyarakat ini boleh memasak makanan yang berempah, bersantan, berlada bersup dan sebagainya. Oleh itu boleh dikatakan masyarakat Melayu adalah satu masyarakat yang paling banyak variasi dalam pemakanan.

Budaya makanan Malaysia banyak dipelopori dengan budaya makanan orang Melayu. Pelbagai lauk pauk tidak akan sempurna jika tidak diiringi dengan nasi. Nasi merupakan makanan utama bagi orang Malaysia dan orang Melayu amnya. Beras juga merupakan nadi budaya kehidupan dan adat bagi penduduk Asia. Bijirin kecil ini juga berjaya membentuk budaya diet (pemakanan) dan ekonomi penduduk Asia. Di Malaysia padi menjadi tanaman utama di Kedah dan Perlis dan dikenali sebagai ‘rice bowl of Malaysia’. Nasi dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk dan ulam ulaman.  Bahan yang digunakan dalam masakan Melayu berkisar kepada santan, cili dan belacan. Hidangan orang Melayu dikatakan mampu menghangatkan suasana di meja makan. Hidangan Melayu terkenal bukan sahaja dari keenakan tetapi dari segi kepedasan dan juga penggunaan rempah ratusnya.

Santan merupakan bahan asas dalam masakan kita. Ia digunakan dalam segala jenis gulai atau masak lemak. Bahan perasa (seasonings) dalam masakan Melayu di bahagi kepada dua: rempah basah dan rempah kering.  Rempah basah iaitu bahan yang ditumbuk dengan batu lesung: bawang, halia, bawang putih dan cili. Rempah kering pula termasuk biji ketumbar, jintan, buah pelaga, kayu manis dan lain-lain. Rempah ratus ini selalunya di sangai (digoreng tanpa minyak) terlebih dahulu sebelum ditumbuk atau dikisar. Orang Melayu juga banyak menggunakan bahan-bahan herba seperti serai, daun pandan, daun limau purut, daun kemangi, bunga kantan, kunyit, lengkuas dan buah pala.

0 comments:

Post a Comment